Aplikasi Fon kepala

Fon kepala boleh digunakan pada peralatan tetap seperti pemain CD atau DVD, sistem teater rumah, komputer peribadi serta peralatan mudah alih seperti pemain MP3 dan telefon bimbit. Fon kepala digunakan secara meluas untuk mendengar punca audio bagi tujuan hiburan dan rekreasi. Dalam sektor audio profesional pula fon kepala digunakan pada situasi secara langsung seperti pengacara lagu (DJ) dengan pencampur DJ serta jurutera bunyi bagi tujuan memantau punca isyarat audio. Di stesen radio pula, DJ menggunakan sepasang fon kepala sambil bercakap melalui mikrofon sambil pembesar suara dimatikan, bagi menghapuskan tindak balas akustik serta untuk memantau suara masing-masing. Di studio rakaman pula, penyanyi dan pemuzik menggunakan fon telinga untuk merakam suara untuk dimainkan bersama runut latar. Di bidang ketenteraan pula, isyarat suara dari pelbagai jenis dipantau menggunakan fon kepala.

Fon kepala berwayar dipasang pada punca audio. Penyambung yang paling lazim ialah jenis plag dan soket 1/4" dan 3.5 mm stereo. Piawaian 1/4" yang lama digunakan pada peralatan profesional, dan biasanya digunakan pada peralatan tetap. Sony memperkenalkan penyambung stereo "mini" 3.5 mm yang lebih kecil, lebih murah dan kini digunakan secara meluas, serta membolehkan plag 3.5 mm mono digunakan pada barisan pemain kaset stereo Walkman. Penyuai bagi sambungan antara peralatan 1/4" dan 3.5 mm boleh didapati secara meluas.